Human Immunodeficiency Virus ataupun lebih dikenali sebagai HIV, adalah sejenis virus yang tersebar melalui cecair badan tertentu yang mengandungi kepekatan virus yang tinggi. Cara penyebaran HIV yang paling biasa terjadi adalah:
Hubungan Seksual melalui Faraj
Penularan HIV boleh berlaku apabila cecair badan yang dijangkiti HIV, seperti air mani atau cecair faraj, bersentuhan dengan membran mukus atau pecah pada kulit di kawasan kemaluan. Hubungan seksual melalui faraj tanpa menggunakan kondom boleh membawa risiko penularan HIV, terutamanya jika salah satu pasangan adalah positif HIV.
Hubungan Seksual melalui Dubur
Hubungan seksual melalui dubur membawa risiko penyebaran HIV yang lebih tinggi berbanding hubungan seks melalui vaginal. Hai ini kerana, lapisan rektum yang nipis dan mudah terkoyak boleh mengakibatkan cecair yang dijangkiti HIV memasuki aliran darah melalui koyakan tersebut.
Seks Oral
Risiko penyebaran HIV melalui seks oral adalah lebih rendah berbanding seks melalui faraj atau dubur, tetapi masih boleh terjadi. Ianya boleh berlaku jika terdapat luka, ulser, atau gusi berdarah di dalam mulut. Ini akan membenarkan cecair yang dijangkiti HIV memasuki aliran darah. Walau bagaimanapun, risiko ini jauh lebih rendah berbanding seks melalui faraj atau dubur tanpa menggunakan kondom.
Berkongsi Jarum dan Picagari
HIV boleh tersebar melalui perkongsian jarum, picagari atau apa-apa alatan penyuntikan yang telah pun dijangkiti dengan darah individu yang dijangkiti. Ini biasa berlaku di kalangan mereka yang menyalahgunakan dadah.
Penyebaran Ibu kepada Anak
HIV boleh diturunkan dari ibu yang HIV-positif kepada bayinya semasa kehamilan, kelahiran, atau menyusu. Walau bagaimanapun, dengan rawatan yang betul seperti terapi antiretroviral (ART) dan mengelakkan penyusuan susu ibu dalam sesetengah kes, risiko ini akan dapat dikurangkan dengan ketara.
Pemindahan Darah atau Pemindahan Organ
Walaupun jarang berlaku, HIV boleh disebarkan melalui penerimaan pemindahan darah yang dijangkiti, atau pemindahan organ. Walau bagaimanapun, saringan yang ketat terhadap aktiviti derma darah dan organ telah pun mengurangkan risiko ini dengan ketara di banyak negara.
Pendedahan di Tempat Kerja
Pegawai perubatan atau individu-individu lain mungkin berisiko untuk terdedah kepada penyebaran HIV melalui tusukan jarum secara tidak sengaja atau pendedahan kepada darah atau cecair tubuh yang dijangkiti dalam persekitaran penjagaan kesihatan (seoerti di klinik, hospital atau makmal). Walau bagaimanapun, risiko penyebaran dalam situasi ini adalah rendah.
Ambil tahu dan jadilah lebih cakna —
Ketahui status anda dengan mudah bersama Ujian Kendiri Oral HIV AwarerHOME™.